Pemain muda Pahang, Muhamad Nor Azam Azih, menganggap kemenangan 3-2 ke atas T-Team, Sabtu lalu, untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia sedikit-sebanyak mengubati kekecewaan gagal merangkul emas di pentas Sukan SEA bulan lalu.

Azam kembali bersama pasukan selepas selesai tugas bersama skuad bawah 22 tahun negara untuk merangkul pingat perak dalam temasya KL2017.

Ternyata, aksinya tidak mengecewakan apabila berjaya meledak satu gol untuk membantu Pahang menang 3-2, sekali gus layak ke suku akhir.

Walaupun terubat kekecewaan sewaktu Sukan SEA, pemain berusia 22 tahun ini tidak menganggap itu adalah aksi terbaiknya dan ingin kembali dengan prestasi terbaik berdepan Perak dalam suku akhir nanti.

"Banyak lagi perkara yang harus diperbaiki bagi menghadapi aksi akan datang. Kami akan cuba memberikan yang terbaik dalam perlawanan seterusnya," kata Azam.

"Buat masa ini, saya masih lagi belum berpuas hati dengan prestasi saya."

Berhubung tawaran untuk beraksi dalam Liga Thailand, Azam tidak menolak akan membuat pertimbangan untuk menerima tawaran itu.

Namun, apa yang penting, dia hanya ingin fokus terlebih dahulu terhadap baki saingan Liga Malaysia untuk musim ini sebelum membuat keputusan.

"Jika benar saya terdapat tawaran tersebut, saya menganggap ia sebagai rezeki," katanya.