Pemain tengah, Hatem Ben Arfa, akhirnya mengesahkan akan berhijrah dan meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) pada akhir musim ini selepas gagal menarik perhatian pengendali, Unai Emery.

Ben Arfa tidak turun beraksi buat PSG sejak April 2017 ketika dia mencatat dua jaringan bagi membantu pasukannya menang 4-0 bagi saingan Piala Perancis di Avranches.

Peguam kepada pemain berusia 31 tahun itu, Jean-Jacques Bertrand, telah mengkritik dan mempersoalkan cara pendahulu saingan Ligue 1 itu melayan kliennya.

Situasi itu membuatkan bekas pemain Lyon, Marseille dan Nice itu mengesahkan melalui laman sosialnya bahawa dia akan meninggalkan Parc Des Princes.

"Tidak lama lagi, perjalanan karier saya bersama PSG akan tamat selepas mengharungi detik-detik sukar dan saya gembira dapat menyarung jersi ini.

"Saya tidak akan melupakan kenangan indah bersama rakan sepasukan dan menghargai segala sokongan yang telah mereka berikan. Saya akan sentiasa cintakan kelab ini," kata Ben Arfa melalui laman Instagram miliknya.