Andrea Belotti mahu kekal di Torino dan mungkin enggan keluar walaupun ada pasukan memenuhi klausa pelepasannya €100 juta (RM478 juta), menurut presiden kelab, Urbano Cairo.

Penyerang itu menyerlah musim lalu selepas menjaringkan 26 gol Serie A untuk Torino dan menambat perhatian beberapa kelab besar.

Pemain berusia 23 tahun itu baru-baru ini dikaitkan dengan AC Milan dan Manchester United manakala Arsenal, Chelsea dan Inter Milan antara kelab lain yang dikhabarkan akan menyambar Belotti.

Kontrak Belotti di Turin -- yang ditandatangani pada Disember lalu -- termasuk €100 juta klausa pelepasan untuk kelab luar negara tetapi Cairo menegaskan minggu ini bahawa dia bercadang untuk menyimpan Belotti.

Dan ketua Toro itu kini menegaskan penyerang itu sendiri tidak sabar untuk kekal, malah aset berharganya itu juga mungkin memilih untuk menolak perpindahan lumayan jika kelab besar menawarkan klausa pelepasannya.

"Saya mengambil berat tentang Belotti dan saya mahu mengekalkannya," kata Cairo kepada Radio 24.

"Dia mempunyai kontrak dengan Toro sehingga 2021. Saya hanya akan menjualnya untuk €100 juta tetapi itupun dia mungkin menolak.

"Perkara yang paling penting adalah apa yang dia mahu tanpa mengira klausa pelepasan itu dan saya percaya dia mahu kekal.

"Kami cuba untuk membina pasukan yang terbaik di Toro. Belotti sibuk dengan tugas antarabangsa pada masa ini dan kemudian dia akan berkahwin Khamis ini -- dia menjemput saya."

Belotti turut bersama skuad Itali yang menewaskan Liechtenstein 5-0 dalam kelayakan Piala Dunia di Udine, awal pagi tadi.