Aksi penyerang muda Arsenal, Gabriel Martinelli, terus menerima pujian Hector Bellerin selepas dia menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Standard Liege, awal pagi tadi.

Pemain berusia 18 tahun itu menyumbat dua gol dalam tempoh 131 saat untuk memastikan The Gunners meraih kemenangan kedua dalam saingan Liga Europa musim ini sebelum Joe Willock dan Dani Ceballos menambah jaringan.

Martinelli kini telah menghasilkan empat gol daripada dua penampilan dalam kesebelasan utama di Emirates, termasuk dua jaringan ketika kemenangan ke atas Nottingham Forest dalam saingan Piala EFL.

Bellerin percaya bahawa masih banyak yang boleh dipersembahkan oleh penyerang dari Brazil itu yang menyertai skuad kendalian Unai Emery itu daripada Ituano, Julai lalu.

"Dia tidak bangga diri dan terus bekerja keras, mendengar pendapat pemain lain serta jurulatih dan membuktikannya di atas padang," kata Bellerin.

"Dia melakukan apa yang diminta jurulatih dan itu yang paling penting. Dia masih muda dan saya pasti terdapat banyak yang boleh ditawarkannya."

Berdepan Standard Liege, Bellerin berpendapat pasukannya mempamerkan tahap disiplin yang tinggi untuk meraih kemenangan keempat dalam lima aksi terakhir bagi semua kejohanan.

"Saya rasa pasukan mempamerkan prestasi mantap," tambahnya.

"Kami datang selepas menewaskan Nottingham Forest di laman sendiri, di mana ia menjadi kemenangan penting. Kami memiliki perwatakan untuk menang dan pasukan sentiasa mahukan jaringan, beraksi pada tahap 100 peratus.

"Kami mahu menyamai aksi permainan ini yang lebih menekan lawan walaupun ketika menang 3-0 atau 4-0. Anda boleh lihat pasukan sentiasa dahagakan kemenangan dan mahu meningkat."

Ia menjadi aksi istimewa buat Bellerin yang menjadi kapten buat kali pertama dalam penampilan sulung dalam kesebelasan utama sejak mengalami kecederaan lutut, Januari lalu.

"Ia satu perasaan yang bagus buat pemain yang mengalami kecederaan seperti itu," katanya.

"Mereka faham proses ini. Namun, ia membuatkan saya menjadi pemain lebih bagus.

"Saya bersyukur dengan fisioterapi, jurulatih, keluarga dan rakan-rakan di sekitar saya yang menjadikannya lebih mudah. Kini, saya boleh menikmati aksi bola sepak."