Hector Bellerin masih mempertimbangkan sama ada mahu kembali ke Barcelona atau kekal bersama Arsenal, kata rakan sepasukan Sepanyol bawah 21 tahun, Denis Suarez.

Bellerin sering dikaitkan dengan perpindahan ke Camp Nou selepas memulakan karier di kelab itu sebelum berhijrah ke Arsenal pada 2011.

Pemain berusia 22 tahun itu menandatangani kontrak lanjutan enam tahun November tahun lalu, namun posisi bek kanan menjadi fokus utama skuad kendalian Ernesto Valverde selepas kelab itu gagal mencari pengganti kepada Dani Alves, musim lalu.

Suarez kembali ke Barcelona hujung musim lalu selepas beraksi cemerlang di Villareal dan dia berharap Bellerin akan turut serta ke Camp Nou.

"Saya sudah bercakap dengannya, dan dia sedang berbelah-bahagi," Suarez memberitahu Radio Catalunya.

"Saya berharap dia akan menyertai kami. Dia sendiri tidak jelas apa yang akan berlaku musim panas ini."

Bellerin dan Suarez merupakan sebahagian daripada skuad Sepanyol yang akan beraksi dalam Kejohanan Eropah Bawah 21 Tahun, minggu ini.