Pertahanan Sepanyol, Hector Bellerin, sukar menerima kenyataan bahawa sudah sekian lama dia terpinggir daripada bolas sepak antarabangsa.

Pertahanan kanan Arsenal itu mendapat panggilan semula menyertai skuad kebangsaan Sepanyol buat kali pertama sejak lebih empat tahun lalu selepas pemain Sevilla, Jesus Navas, terpaksa diketepikan kerana kecederaan.

Kali terakhir dia mewakili skuad La Roja itu adalah ketika menentang Georgia pada 2016 dan walaupun dia tersenarai dalam skuad Sepanyol bagi Euro 2016, dia tidak diturunkan dalam sebarang perlawanan sepanjang kejohanan itu.

Bellerin, bagaimanapun, dipanggil semula oleh ketua jurulatih, Luis Enrique, menjelang perlawanan persahabatan menentang Belanda sebelum menghadapi Switzerland dan Jerman dalam Liga Negara-Negara Eropah.

Pemain berusia 25 tahun itu merupakan antara pemain Arsenal yang beraksi paling tekal musim ini dan bermain dalam setiap minit perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dia melakukan 12 pintasan dan lapan terjahan dengan 80 peratus kejayaan dalam gerakan itu untuk membantu Arsenal tidak dibolosi dalam dua perlawanan.

"Benar, saya gembira untuk kembali ke rumah ini. Ia sudah hampir lima tahun sejak kali terakhir, jadi saya amat gembira," kata Bellerin dalam satu temu bual bersama Persatuan Bolasepak Diraja Sepanyol.

"Ia merupakan tahun-tahun yang sukar dan mereka sentiasa ada ketika anda tidak dapat menyertai skuad kebangsaan tetapi saya amat berbangga dan gembira sekarang. Saya tidak sabar untuk memulakannya."