Roberto Martinez tahu benar apa yang bakal dihadapi pasukannya.

Bos Belgium itu menekankan pentingnya kesabaran daripada pemain-pemain seperti yang terbukti dalam kemenangan 3-0 mereka ke atas Panama, awal hari ini.

Panama, pasukan dengan penampilan pertama dalam Piala Dunia, tidak akan kerugian apa-apa, dengan pengurusnya, Hernan Dario Gomez, secara berseloroh berjanji untuk menogok dua botol vodka jika pasukannya berjaya melepasi peringkat Kumpulan G itu.

Dan perkara itu terserlah seperti dijangkakan Martinez di sebalik voli gemilang Dries Mertens dan gol berganda Romelu Lukaku kesudahannya memberikan mereka kemenangan selesa di Sochi.

Ia banyak menampilkan kehampaan di samping bersifat fizikal tetapi barisan bintang-bintang Belgium mempamerkan ketenangan dan kematangan yang diperlukan untuk melepasi halangan suku akhir dalam sebuah kejohanan utama setelah terdahulu mara ke peringkat itu dalam Piala Dunia 2014 dan Euro 2016.

Eden Hazard menanggung akibat terbesar daripada corak fizikal Panama, dengan kapten Belgium itu banyak menyepi sehinggalah kembali menggugat dalam separuh masa kedua.

Impak Kevin De Bruyne juga agak terbatas, Lukaku sering tersisih daripada aksi sebenar sambil Jan Vertonghen kerap memberikan isyarat tidak berpuas hati kepada rakan-rakan sepasukan.

Panama, yang secara dramatik menafikan Amerika Syarikat daripada layak ke Russia, tetap memuaskan hati gerombolan penyokongnya – setiap gerakan mereka diiringi sorakan bersemangat yang tidak pernah kendur.

Keraguan mula timbul selepas separuh masa yang tanpa jaringan tapi Belgium segera menebus sebarang kesangsian terhadap keupayaannya.

Satu detik magis daripada Mertens akhirnya menembusi kekebalan pertahanan Panama, dengan voli gemilangnya dua minit selepas permainan bersambung mententeramkan pasukannya.

Thibaut Courtois tampil beberapa kali menyelamatkan keadaan untuk mengekalkan pendahuluan Belgium dan di sebalik Panama terus menggugat, kualiti yang dimiliki skuad The Red Devils itu akhirnya terserlah juga.

Lambungan De Bruyne menemui Lukaku untuk gol kedua mereka, disusuli giliran Hazard melorongkan buat penyerang Manchester United itu menyudahkan gol ketiga.

Dalam pada itu, masih ada ruang kebimbangan buat Belgium – kini tanpa kalah dalam 20 perlawanan – khususnya di bahagian pertahanan tapi dengan Vincent Kompany dijangka kembali daripada kecederaan, ini mungkin menjadi tahun generasi emas negara itu memenuhi potensi sebenar mereka.