BELGIUM 2 BRAZIL 1

Belgium menempah pertemuan separuh akhir berdepan Perancis sambil harapan Brazil untuk memenangi gelaran juara Piala Dunia buat kali keenam dileburkan dengan kekalahan 2-1 di Kazan, awal pagi tadi.

Brazil, yang menghuni tangga kedua ranking FIFA, merupakan negara bukan Eropah terakhir yang tinggal dalam kejohanan ini selepas Perancis menyingkirkan Uruguay dalam aksi suku akhir yang pertama dilangsungkan malam tadi.

Tetapi skuad kendalian Tite itu, yang kehilangan khidmat Casemiro kerana penggantungan, tewas kepada Belgium hasil dua jaringan dalam separuh masa pertama di Kazan Arena walaupun Selecao
berusaha melancarkan kebangkitan.

Fernandinho menjaringkan gol sendiri untuk meletakkan Belgium di depan sebelum kemahiran dan kekuatan Romelu Lukaku membawa Red Devils masuk ke dalam kawasan penalti Brazil dan melakukan hantaran kepada Kevin De Bruyne untuk menjaringkan gol kedua.

Brazil gagal mencari sebarang jawapan sehingga minit ke-76 apabila tandukan Renato Augusto mengurangkan defisit jaringan sementara bintang meteka, Neymar, hampir membuat kehadirannya tidak dirasai kecuali tiga percubaan lemah untuk memenangi penalti walaupun pengadil perlawanan, Milorad Mazic dari Serbia, seharusnya memberikan satu selepas Vincent Kompany menjatuhkan Gabriel Jesus.

Neymar akhirnya hadir ke dalam perlawanan pada masa kecederaan dengan memaksa Thibaut Courtois melakukan aksi menyelamat cemerlang terhadap sepakan lencongnya dari luar petak penalrti tetapi ia tidak cukup untuk mengekalkan cabaran pasukannya.

Dua sepakan sudut pada awal permainan gagal dikawal baik oleh Belgium, di sebalik Thiago Silva berupaya untuk melakukan tandukan sebelum Paulinho gagal melakukan rembatan yang sempurna dari luar kotak penalti.

Belgium kemudian menjaringkan gol daripada sepakan sudut pertama mereka pada minit ke-13.

Vincent Kompany cuba menanduk kilas ke belakang sepakan sudut Eden Hazard dari sebelah kiri tetapi terkena pangkal lengan rakan sepasukannya di Manchester City , Fernandinho -- yang menggantikan Casemiro – dan terbias masuk menewaskan penjaga gol, Alisson.

Courtois melakukan beberapa usaha menyelamat daripada Philippe Coutinho dan Willian sambil Brazil, yang bermain dalam perlawanan suku akhir ketujuh berturut-turutnya dalam Piala Dunia, menggandakan tekanan.

Tetapi Belgium, yang kini tidak tewas dalam 24 perlawanan, dengan sensasi menggandakan pendahuluan mereka hasil serangan balas selepas satu sepakan sudut Brazil pada minit ke-31.

De Bruyne meluru untuk memanfaatkan ruang yang ditinggalkan Marcelo dan melepaskan rembatan rendah menewaskan penjaga gol, Alisson, dari penjuru petak penalti selepas Lukaku mengutip bola, berpusing dan melarikannya sejauh 40 ela untuk kesudahannya mengumpan sempurna kepada pemain perancangnya itu.

Pengadil, Mazic, tidak mengendahkan rayuan penalti Neymar pada penghujung separuh masa pertama, dengan pegawai perlawanan itu enggan langsung tertarik apabila bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu sekali lagi rebah selepas permainan bersambung dalam babak kedua.

Roberto Firmino yang masuk menggantikan Willian ketika rehat separuh masa, sekadar sempat menyentuh sedikit satu hantaran lintang Marcelo sebelum Mazic sekali lagi enggan menghadiahkan penalti apabila Kompany dilihat membentes Gabriel Jesus.

Hazard terlepas peluang untuk menamatkan terus ancaman lawan dengan menyepak liar satu umpanan De Bruyne sambil Courtois menafikan usaha daripada pemain gantian, Douglas Costa, di hujung berlawanan.

Pertukaran ketiga Brazil akhirnya membuahkan gol tiga minit dan 14 saat selepas pengenalan Augusto yang menyelinap melepasi dua pertahanan Belgium untuk menanduk menewaskan Courtois daripada satu sungkitan Coutinho.

Augusto harus mampu menyamakan kedudukan hanya sejurus kemudian, sebaliknya menghalakan percubaannya dari 20 ela sedikit sipi sambil Brazil memuncakkan tekanan ke atas Belgium dalam 10 minit terakhir.

Seterusnya, rembatan Coutinho meliar dan satu lagi rayuan penalti Neymar tidak dipedulikan sebelum pemain termahal dunia itu memaksa satu percubaan lencongnya ditepis keluar Courtois pada minit ke-94.

Tapi Belgium terus bertahan hingga penghujung permainan dan Roberto Martinez akan memimpin pasukannya ke separuh akhir Piala Dunia berdepan Perancis pada Selasa ini.