Belanda telah merekodkan 12 kemenangan berturut-turut dalam kejohanan utama, namun ketua jurulatihnya, Sarina Wiegman, sedar Amerika Syarikat (AS) merupakan pasukan pilihan untuk memenangi final Piala Dunia Wanita, malam ini.

Selaku juara Kejohanan Eropah di laman sendiri dua tahun lalu, Belanda hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk menjulang dua kejuaraan utama berturut-turut, buat kali pertama sejak sedekad lalu.

Mereka akan menentang satu lagi kuasa besar dalam bola sepak wanita di Lyon malam ini walaupun AS mahu mempertahankan kejuaraannya dalam final ketiga berturut-turut.

Bagaimanapun, Wiegman tidak kisah seandainya pasukannya diletakkan sebagai bukan pilihan untuk meraih kejuaraan itu.

"Jangkaan sudah berbeza pada waktu ini.

"AS merupakan pasukan pilihan dan kami tidak tetapi kami tidak kisah tentang itu," katanya.

Terdapat perdebatan sama ada AS benar-benar berkeyakinan atau terlalu angkuh dalam kejohanan ini.

Cara mereka meraikan jaringan telah mendatangkan rasa tidak selesa beberapa pasukan lain dan pengurus England, Philip Neville, kecewa apabila dua pegawai pasukan itu datang ke hotel penginapan pasukannya menjelang aksi separuh akhir yang melayakkan skuad kendalian Jill Ellis itu ke final.

Bagaimanapun, Wiegman, yang menghabiskan tempoh setahun di AS sewaktu bergelar pemain North Carolina, tidak menganggap lawan itu terlalu angkuh.

"Saya fikir Amerika mempunyai keyakinan yang besar tetapi itu tidak mengapa.

"Mereka memiliki status yang amat baik, mereka memenangi banyak kejohanan dan sentiasa berada di tahap tertinggi.

"Saya fikir ia juga sebahagian daripada budaya mereka. Itulah yang berlaku," tambahnya.