Pemain tengah Jerman, Toni Kroos, berbincang tentang peningkatan Belanda sejak dua tahun lalu dan menjangkakan ujian sukar ketika berdepan The Oranje dalam aksi kelayakan Euro 2020, awal pagi esok.

Juara dunia empat kali, Jerman, telah memenangi ketiga-tiga perlawanan kelayakan menjelang pertemuan di laman sendiri berdepan Belanda, lawan yang ditewaskan 3-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan C, Mac lalu.

Skuad Oranje itu menampilkan permainan yang lebih baik dalam saingan Liga Negara-Negara tahun lalu dan Kroos percaya skuad kendalian Ronald Koeman itu mungkin mempamerkan peningkatan sejak gagal layak ke Piala Dunia 2018.

"Mereka telah memperbaiki mutu permainan sejak dua tahun lalu," kata Kroos.

"Jerman sentiasa cuba menampilkan permainan kualiti yang tinggi. Saya menjangkakan perlawanan yang sukar.

"Dengan bilangan perubahan yang telah dilalui, saya percaya Jerman masih mampu memberikan saingan. Belanda mampu menghukum mana-mana pasukan. Tugas kami adalah menghalang mereka."

Setelah menewaskan Belanda di Amsterdam Mac lalu, Jerman merekodkan dua lagi kemenangan ke atas Belarus 2-0 dan mengatasi Estonia 8-0.

Joachim Low bakal menurunkan kesebelasan utama tanpa kelibat Leroy Sane dan Leon Goretzka di Volksparkstadion.

"Goretzka mengalami kesakitan selepas sesi latihan semalam," kata Low. "Ia amat penting buat skuad muda mendapatkan persefahaman tetapi kami akan menghadapi perlawanan ini tanpa beberapa pemain utama.

"Jerman tetap akan turun dengan tiga pemain di bahagian serangan, jadi formasi 4-3-3 atau 5-2-3 akan digunakan," tambahnya.

Die Mannschaft akan turut tanpa khidmat Julian Draxler, Thilo Kehrer dan Antonio Rudiger dan Low mahukan pemain seperti Kai Havertz membuktikan kemampuannya di pentas antarabangsa.

"Dia memiliki kualiti dan mampu menjadi bintang pada masa akan datang," kata Low mengenai pemain Bayer Leverkusen itu.

"Dia perlu terus berkembang dan meningkatkan lagi mutu permainannya."