Masalah tunggakan gaji yang melanda kebanyakan pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M) mendorong 14 bekas pemain yang mendakwa masih tidak dibayar gaji oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) tampil menuntut hak mereka.

Langkah skuad Singa Utara yang berwajah baru di bawah cetusan idea presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie -- sudah meletakkan jawatan -- hanya bertahan dua perlawanan pembukaan musim ini sebelum segala kepincangan pengurusan didedahkan.

Perlis merekrut beberapa pemain ternama Liga-M yang terdiri daripada Safee Sali, Khyril Muhymeen Zambri, Badhri Radzi, Amirizdwan Taj Tajuddin dan Shahril Saa'ri selain diberikan hak istimewa diangkat ke Liga Perdana.

Pemain kemudian mendedahkan tidak menerima gaji yang menyebabkan pentadbir liga tempatan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), memberikan kebenaran khas kepada pemain Perlis untuk menyertai pasukan lain sungguhpun jendela perpindahan pertama sudah ditutup.

Justeru, 14 pemain tersebut merujuk kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFAM) untuk menyelesaikan kemelut terbabit.

"Hari ini, kami selaku bekas pemain Perlis membuat aduan rasmi kepada PFAM.

"Bagi kami, ini satu (langkah) penting untuk melihat industri bola sepak kita bertambah maju.

"Kalau masalah ini berterusan, sampai bila-bilalah bola sepak kita tidak akan maju ke depan.

"Kami mewakili pemain bola sepak negara ini menyeru kepada semua pihak yang berwajib agar jangan memandang ringan kontrak yang ditandatangani setiap pemain," kata bekas pemain Perlis, Safee, sebagai mewakili pemain-pemain terbabit.