Bekas pemain Lens bantu Sang Badak

Ammar Hakim
Disember 6, 2016 06:33 MYT

Bekas pemain kelab Perancis, Olivier Thomert, kini berada di Kota Kinabalu untuk membantu persiapan Sang Badak bagi menghadapi Liga Malaysia, musim depan.

Perkara itu disahkan Pengarah Sukan skuad Sabah, Adlane Messelem, yang hanya memberitahu kehadiran Olivier yang tiba pagi tadi adalah untuk memberi 'input baharu' kepada pasukan.
"Dia berada di sini atas jemputan saya dan dia akan bersama pasukan selama kira-kira dua minggu...dia akan membantu kita dalam memantapkan bahagian serangan.
"Olivier memiliki pengalaman luas termasuk pernah beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah bersama Lens, kita harapkan dia akan dapat membantu pasukan selain memberi motivasi kepada pemain untuk berlatih bersungguh-sungguh sebagai persiapa musim baharu nanti," katanya ketika ditemui, di Kota Kinabalu.
Olivier yang kini berusia 36 tahun memulakan kerjaya sebagai pemain profesional bersama kelab Perancis, Le Mans pada tahun 1999.
Selepas menghabiskan dua musim bersama pasukan itu, beliau kemudian menyertai Lens pada tahun 2002 hingga 2007 dan selepas itu beraksi bersama kelab Stade Rennais dari 2007 hingga 2010.
Pemain di bahagian serangan itu kemudian kembali beraksi bersama Le Mans pada sekitar 2010 sebelum berhijrah ke Sepanyol untuk menyertai kelab Hercules yang turut dibarisi bekas penyerang sensasi Perancis, David Trezeguet.