Dua pemain import, Jonathan Behe dan Sofiane Choubani, semakin ditunjukkan jalan keluar oleh Sang Badak apabila mereka tidak tersenarai untuk aksi liga bertemu Kuantan FA di Stadium Likas, malam esok.

Perkara itu disahkan pengendali pasukan, Jelius Ating, yang memberitahu dua pemain terbabit direhatkan susulan persembahan kurang memuaskan dalam dua perlawanan lalu.

Keputusan itu menguatkan lagi desas-desus dua pemain itu bakal digantikan dengan pemain import lain apabila jendela perpindahan pemain dibuka, bulan depan.

Baru-baru ini, Jelius dalam satu kenyataan berkata beliau kemungkinan besar akan membuat rombakan terhadap barisan pemainnya, termasuk pemain import yang tidak mencapai kualiti yang diharapkan.

"Saya telah berbincang dengan pihak pengurusan dan barisan jurulatih, dan kami membuat keputusan untuk tidak menurunkan mereka (Behe dan Choubani), malam esok.

"Kami juga telah melihat semula rakaman video perlawanan sebelum ini sebelum membuat keputusan itu," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, bekas pemain berusia 46 tahun itu berkata walaupun tanpa dua tonggak import, beliau masih yakin pasukannya mampu menyaingi Kuantan FA.

"Saya percaya pemain-pemain, khususnya pemain tempatan, mampu memberi saingan sengit kepada Kuantan, seterusnya mencari kemenangan pertama kami di gelanggang sendiri musim ini," katanya.

Jelius berkata beliau mungkin mengekalkan sebahagian besar kesebelasan utamanya dalam perlawanan sebelum ini kecuali Dendy Lowa yang digantung perlawanan.

"Bagaimanapun, kami akan mendapat semula khidmat Alto Linus untuk menggantikan Dendy di bahagian pertahanan dan kami juga mungkin menurunkan Rahman (Shah Marajeh) untuk digandingkan dengan Leopold (Alfonso Otong) di bahagian serangan.

"Lain-lain pemain (kesebelasan utama sebelum ini), kami akan kekalkan, cuma tempat Choubani akan digantikan dengan pemain lain," katanya.

Tambah beliau, seorang pemain daripada skuad Piala Presiden, iaitu Hamran Peter, akan turut disenaraikan dalam barisan 18 pemain untuk aksi esok.