Impian menjejakkan kaki ke Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi pembakar semangat buat penyerang hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, yang baru menjalani pembedahan lutut, anterior cruciate ligament (ACL).

Penggempur berusia 35 tahun tersebut bertekad membuktikan usia bukan penghalang untuk pulih dan memburu tiket ke temasya berprestij itu tiga tahun lagi.

Pemegang pingat perak Sukan Asia 2018 itu mencatat 297 penampilan sejak 2005 dan sepanjang tempoh berkenaan, dia sudah menjaringkan 113 gol antarabangsa.

Dia berdepan tugas sukar untuk pulih daripada pembedahan ACL pada usia 35 tahun tetapi tugas yang belum tertunai menyemarakkan semangat juangnnya.

"Paling pantas saya dapat kembali ke arena ialah dalam tempoh enam bulan.

"Masih ada impian yang belum terlaksana dan saya cuba untuk kembali secepat mungkin.

"Sama ada bermain atau tidak, saya akan cuba.

"Memang ia menjadi satu impian setiap individu, mungkin pemain seperti Marhan Jalil masih ada di sana.

"Pemain yang lain (ketika ini) rata-rata masih mampu bermain lagi," katanya kepada wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, sebentar tadi.





Sementara itu skuad kebangsaan diketuai kapten, Marhan, sudah menamatkan proses kuarantin di London, England, menjelang aksi sulung program Jelajah Great Britain, Ahad ini.

Malaysia akan menentang Old Georgians selaku naib juara Liga Hoki England musim lalu.

Apa yang menarik, ia akan jadi ujian sulung Arul Selvaraj sejak dilantik selaku pengendali negara pada Ogos tahun lalu selain mengetengahkan perubahan posisi pemain.

"Tujuan saya adalah untuk memperkasakan pemain secara keseluruhan.

"Sudah tentu ada pemain baru (yang diserap) tetapi kebanyakan akan bermain di peringkat depan, sama ada sebagai pemain tengah menyerang atau penggempur.

"Shello Silverius mempunyai potensi. Pemilihan saya juga berdasarkan sikap, dia mempunyai sikap dan kecergasan yang agak luar biasa.

"Jadi saya bercadang menggunakan aspek itu untuk melakukan tugasan tambahan buat rakan sepasukannya," katanya pula.