Bayern, vaksin dan potong gaji

Nafis Abdullah
November 23, 2021 22:21 MYT
“Saya mempunyai perasaan bimbang apabila memikirkan tentang sesuatu perkara yang tidak melalui proses uji kaji dalam tempoh panjang. Saya mengikut setiap langkah selamat yang diperlukan, menjalani ujian setiap dua atau tiga hari tetapi tiap orang perlu membuat keputusan untuk diri mereka sendiri.”
Itu kenyataan daripada bintang Bayern Munich, Joshua Kimmich, mengenai keputusannya untuk tidak menerima vaksin, seperti yang ditulis dalam Irishtimes oleh Philip Oltermann pada 25 Oktober lalu.
Tindakan Kimmich itu memberi tamparan hebat buat Bayern Munich tatkala mereka sibuk mengadakan kempen memerangi wabak Coronavirus (COVID-19) dan situasi itu jelas lebih buruk apabila lima pemain mereka terpaksa menjalani proses kuarantin susulan kontak rapat dengan individu yang dijangkiti wabak tersebut.
Hujung minggu lalu, Bayern tewas 2-1 di tangan Augsburg dan susulan daripada perlawanan tersebut, beberapa nama seperti Serge Gnabry, Joshua Kimmich, Jamal Musiala, Eric Maxim Choupo-Moting dan Michael Cuisance perlu menjalani proses kuarantin walaupun dua daripada lima pemain tersebut tidak beraksi dalam perlawanan di WWK Arena itu.
Berang dengan kenyataan daripada Kimmich sebelum ini serta terpaksa menukar proses persediaan perlawanan termasuk mengasingkan pemain yang masih belum menerima vaksin sebelum ini, Bayern membuat keputusan untuk memotong gaji setiap individu yang terlepas sebarang aksi disebabkan kuarantin dan masih belum divaksin.
Langkah itu bermaksud dua orang pemain yang dijangkiti COVID-19 pada minggu lalu, Niklas Sule dan Josip Stanisic, tidak akan menerima potongan gaji setelah juara Jerman itu mengesahkan kedua-duanya telah menerima vaksin lengkap.
“Semua pihak cuba mengatasi masalah melibatkan golongan belum divaksin tetapi ia tidak berjaya. Mungkin kali ini masalah ini akan dapat diatasi,” ujar bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Karl-Heinz Rummenigge, yang jelas menyokong langkah diambil The Bavarians.
Secara keseluruhan, tekanan bukan sahaja dialami oleh kem kendalian Julian Nagelsmann itu, malah seluruh Jerman memandangkan kadar 68% penduduk sudah divaksin di negara itu merupakan antara catatan terendah di Eropah. Tidak hairan mengapa kelab sebesar Bayern juga terpaksa mengambil langkah serius.