Julian Nagelsmann berpuas hati dengan usaha yang dilakukan pasukannya walaupun Bayern Munich tewas 1-2 kepada Borussia Monchengladbach dalam perlawanan Bundesliga di laman sendiri awal pagi tadi.

Dalam aksi pertama selepas waktu rehat pertengahan musim itu, Robert Lewandowski -- yang dinamakan sebagai finalis Anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2021 -- membuka jaringan awal buat Bayern tetapi ia dipadamkan oleh gol daripada Florian Neuhaus and Stefan Lainer buat Gladbach dan pasukan tuan rumah itu tidak dapat melakarkan kebangkitan dalam babak kedua.

Bayern turun dalam perlawanan itu tanpa beberapa tonggak utama seperti Manuel Neuer, Lucas Hernandez, Dayot Upamecano, Leon Goretzka, Alphonso Davies, Kingsley Coman dan Leroy Sane disebabkan jangkitan COVID-19 dan kecederaan tetapi Nagelsmann berasakan pasukannya lebih layak untuk mendapatkan sesuatu daripada perlawanan itu.

Bercakap selepas kekalahan itu, pengendali berusia 34 tahun berkenaan berkata kepada wartawan: "Kami sebenarnya lebih hampir untuk menang berbanding Gladbach.

"Mengambil kira situasinya, kami bermain dengan baik sepanjang 25 minit pertama, kami sepatutnya mendahului dengan jaringan yang lebih besar.

"Cara kami melepaskan jaringan penyamaan merupakan sesuatu yang amat gila, saya tidak tahu mengapa kami mahu melakukan perkara seperti itu dalam kotak penalti, dan kemudian kami dibolosi satu lagi gol daripada satu lagi gerakan set-piece.

"Dalam babak kedua, kami bermain baik dan memiliki banyak peluang. Tidak seperti perlawanan piala sebelum ini, kami tidak sepatutnya tewas hari ini," katanya.

Sebagai rekod, Bayern tewas 0-5 kepada Gladbach dalam saingan DFB Pokal awal musim ini.