Bayern Munich mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani pemain pertahanan baru, Omar Richards, secara perpindahan percuma.

Richards menyertai juara Bundesliga itu daripada Reading selepas melakukan 42 penampilan buat pasukan Liga Kejuaraan itu sepanjang musim 2020-21.

Pertahanan kiri itu, yang pernah mewakili England dalam saingan B-21, telah bersetuju untuk mengikat kontrak selama empat tahun sehingga 2025.

"Perpindahan ke Bayern merupakan satu penghormatan buat saya. Impian saya telah menjadi kenyataan," kata Richards dalam laman web rasmi pasukan itu.

"Saya berbangga untuk menyarung jersi salah sebuah kelab terbesar di dunia ini. Saya berharap agar dapat membantu pasukan ini meneruskan kejayaan mereka pada masa akan datang.

"Ucapan terima kasih saya juga buat pengurusan Bayern atas kepercayaan mereka. Perbincangan kami amat meyakinkan. Saya tidak sabar untuk turun ke padang buat Bayern," katanya.

Richards melakukan lebih daripada 100 penampilan buat Reading sejak hadir daripada akademi pasukan itu.

Kelab England berkenaan turut mengesahkan bahawa mereka telah menawarkan kontrak baru buat pemain berusia 23 tahun itu tetapi dia memilih untuk meneruskan kariernya dalam Bundesliga.