Bayern sedia pertaruh Muller selepas kecederaan

Penulis Jemputan
Disember 2, 2017 05:28 MYT
Jupp Heynckes mengesahkan Thomas Muller akan memulakan perlawanan bersama Bayern Munich ketika menentang Hannover, hari ini, selepas pulih dari kecederaan hamstring.
Pemain antarabangsa Jerman itu tidak muncul bersama juara Bundesliga berkenaan sejak kemenangan 1-0 di Hamburg, 21 Oktober lalu.
Muller kembali berlatih minggu ini dan kelibatnya sudah cukup untuk meyakinkan jurulatih, Heynckes, bahawa dia patut memulakan permainan, hujung minggu ini.
"Kami melihat Muller yang lama semasa sesi latihan minggu ini. Thomas yang mempunyai cita-cita tinggi," katanya dalam sidang akhbar.
"Saya gembira dia kembali, dia akan bermula esok."
David Alaba (masalah belakang) dan Franck Ribery (lutut) juga mungkin diturunkan sejak mereka tersisih pertengahan bulan lalu.
"Kami akan memantau mereka selepas latihan dan menunggu lampu hijau daripada pasukan perubatan sebelum memasukkan mereka," tambah Heynckes.
Bagaimanapun, Arjen Robben masih bergelut dengan kecederaan paha dan mungkin tidak sempat untuk pulih bagi aksi Liga Juara-Juara (UCL) bertemu Paris Saint-Germain (PSG), pertengahan minggu depan.
"Arjen Robben telah bekerja keras di gim. Semalam, dia melakukan beberapa aktiviti di luar," kata Heynckes.
"Saya tidak mahu membuat ramalan mengenai penyertaannya, tiada gunanya. Kami perlu menunggu dan melihat sama ada dia dapat berlatih bersama pasukan pada hari Isnin atau Selasa.
"Buat masa ini, terlalu awal untuk membuat kenyataan.
"Saya tidak tahu, kami kesuntukan masa, terutama dengan Arjen, saya tidak akan mengambil apa-apa risiko.
"Seperti biasa, dia sangat bermotivasi tetapi saya tidak akan mengambil sebarang risiko sama sekali."