BAYERN MUNICH 1 HERTHA BERLIN 0

Kingsley Coman ditimpa kecederaan hamstring, demikian Bayern Munich mengesahkannya, dan pemain sayap itu dalam keraguan utama menjelang pertembungan kedua Liga Juara-Juara (UCL) dengan Liverpool.


Coman bangkit dari bangku simpanan dalam kemenangan 1-0 Bayern ke atas Hertha Berlin dalam aksi Bundesliga di laman sendiri awal pagi tadi, namun aksinya hanya bertahan selama sembilan minit sebelum digantikan.

Pemain sayap Perancis itu kelihatan terhincut-hincut dan terus menuju ke bilik persalinan. Sehubungan itu, pengurus, Niko Kovac, menjelaskan ujian kesihatan diperlukan untuk menentukan tahap kecederaan anak buahnya itu.

Bayern mengesahkan hamstring kiri Coman terkoyak dan pemain berusia 22 tahun itu dijangka akan tersisih selama berbulan lamanya.

Oleh itu, dia berkemungkinan besar akan tersisih untuk aksi timbal balik Bayern dengan Liverpool pada 14 Mac ini setelah seri 0-0 di Anfield.

"Kingsley Coman tidak akan dapat beraksi untuk Bayern Munich buat masa ini," kata kenyataan kelab itu.

"Pemain sayap Perancis berkenaan terkoyak tisu otot paha kirinya ketika menentang Hertha.

"Ujian ini dijalankan oleh kakitangan perubatan Bayern. Coman terpaksa dikeluarkan (pada minit ke-67), hanya sembilan minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian."

Coman, yang mengharungi 81 minit aksi pertemuan dengan Liverpool, pada awalnya sudah ada keraguan ketika sesi memanaskan badan ekoran kecederaan berbeza.

Sebelum ini, dia dihimpit kecederaan buku lali ketika Bayern menang 3-2 di Augsburg yang menyaksikannya meledak dua gol dan mencipta gerakan gol kepada David Alaba untuk gol kemenangan perlawanan itu.

Coman turut terlepas aksi permulaan musim ini selama tiga bulan akibat masalah yang sama.

Malah, dia pernah memberi isyarat mungkin terpaksa bersara awal akibat sering dibelenggu kecederaan berterusan berikutan ligamen lutut yang terkoyak dan masalah pergelangan kaki yang serius sehingga memusnahkan kempennya pada 2017.

"Ia adalah tahun yang sangat sukar," kata Coman kepada TF1. "Apabila saya ditimpa kecederaan, ia adalah pengakhiran buat saya.

"Saya berharap saya tidak perlu melalui penderitaan itu. Saya tidak mahu menjalani pembedahan ketiga -- mungkin ini adalah kerana kaki saya bukan ditakdirkan untuk berada di tahap ini.

"Saya perlu menjalani kehidupan berbeza, kehidupan yang tidak menjadi perhatian."