Robert Lewandowski tidak mempunyai perancangan untuk meninggalkan Bayern Munich sebelum kontraknya tamat pada 2021 tetapi menerima 'sifat tanpa belas kasihan' dalam bola sepak sekiranya kelab itu tidak lagi memerlukan khidmatnya suatu hari nanti.

Lewandowski melalui tempoh luar biasa bersama Bayern selepas berhijrah dari Borussia Dortmund pada 2014, dengan menjaringkan 82 gol Bundesliga dalam 100 penampilan setakat ini.

Tetapi masa depannya kini boleh dikatakan tidak menentu, dengan bintang Poland itu baru-baru ini menimbulkan kemarahan CEO kelab, Karl-Heinz Rummenigge, selepas mengkritik dasar perpindahan.

Stefan Effenberg juga mengkritik Lewandowski dan menggesa Bayern untuk menjualnya sehingga menimbulkan spekulasi mengaitkan pemain berusia 29 tahun itu dengan Real Madrid.

Tetapi Lewandowski menjauhkan diri daripada laporan itu dan mengulangi hasratnya untuk kekal bersama Bayern sepanjang kontraknya walaupun dia sedar bahawa keputusan itu mungkin tidak hanya bergantung kepadanya.

"Anda tahu bagaimana bola sepak bergerak pantas," katanya kepada 11Freunde.

"Ada pemain yang menjawab soalan seperti ini (tentang meninggalkan sebuah kelab) dengan: 'Saya mahu menamatkan kerjaya saya di sini.'

"Kemudian kelab sebaliknya berkata: 'Terima kasih, tetapi kami tidak memerlukan anda lagi.' Tetapi bagi saya, apa yang penting ialah saya mempunyai kontrak sehingga 2021 dan kami (Lewandowski dan keluarganya) berasa sangat selesa di Munich. "

Bek kanan Bayern, Rafinha, adalah salah seorang lagi yang menjadi subjek spekulasi dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan pemain kelahiran Brazil itu mendakwa dia menerima tawaran konkrit dari kelab Sepanyol dan Inggeris semasa jendela perpindahan.

Tetapi, seperti Lewandowski, dia bersemangat untuk kekal bersama Bayern ketika dia semakin mendapat peluang beraksi di padang.

"Saya mendapat tawaran dari Sepanyol atau England menjelang musim ini," katanya kepada Bild. "Lembaga tahu perkara ini.

"Tetapi mereka sentiasa bergantung kepada saya, Bayern berada di hati saya. Saya sentiasa memberikan 100 peratus.

"Jadi, saya fikir kelab memahami bahawa saya mahu bermain tetapi jika itu tidak berlaku, maka saya perlu memikirkan masa depan saya."