BESIKTAS 1 BAYERN MUNICH 3

Bayern Munich menepati ramalan apabila mudah menundukkan cabaran Besiktas 3-1 di tempat lawan dalam aksi timbal balik pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi untuk menempah tiket suku akhir.


Bayern bertandang ke Turki dengan bekalan selesa lima gol yang dibawa dari Allianz Arena tetapi ia nyata belum membuatkan mereka berpuas hati apabila Thiago Alcantara tenang menyempurnakan hantaran lintang Thomas Muller untuk meletakkan Bayern di depan pada minit ke-18.

Jaringan itu menyaksikan kali pertama Thiago menyumbat gol di tempat lawan dalam aksi Liga Juara-Juara sejak kali terakhir melakukannya ketika bertemu Porto pada April 2015.

Tuan rumah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-38 menerusi pemain sayap, Ricardo Quaresma, namun percubaannya sempat dihalang benteng pelawat.

Sebaliknya, Bayern terus menambah jaringan sebaik sahaja babak kedua bermula.

Asakan dari sebelah kanan oleh Franck Ribery dan Rafinha menyaksikan bola yang dilorongkan ke dalam kotak penalti gagal dikeluarkan dengan kemas oleh Gokhan Onul sehingga tertampan ke dalam gawang sendiri pada minit ke-46.

Vagner Love cuba merapatkan jurang di depan kira-kira 36,000 penonton di Stadium Vodafone apabila kesilapan pertahanan pelawat membolehkan Onul menolak bola kepada penyerang dari Brazil itu untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Pemain gantian, Sandro Wagner, yang masuk menggantikan Robert Lewandowski, mematikan usaha tuan rumah untuk cuba menyamakan kedudukan apabila menyumbat gol ketiga buat Bayern hasil hantaran lintang David Alaba pada minit ke-84.

Kemenangan 3-1 di Turki menyaksikan Bayern muncul pasukan yang meraih kemenangan agregat terbesar dalam pusingan kedua pada musim ini selepas menjaringkan lapan gol dalam dua perlawanan untuk melangkah ke suku akhir.