Julian Nagelsmann menjangkakan Bayern Munich dan Robert Lewandowski akan kembali meniti landasan tepat ketika menentang Bayer Leverkusen, malam esok.

Rentak berbisa Lewandowski dalam 15 perlawanan Bundesliga berturut-turut berakhir sebelum rehat antarabangsa yang menyaksikannya gagal menemui sentuhan penyudah ketika berdepan Greuther Furth dan Eintracht Frankfurt.

Ini pertama kalinya berlaku sejak November 2019 untuk pemain berusia 33 tahun itu tidak dapat mencetak gol dalam perlawanan berturut-turut liga, dan dia juga gagal menyumbangkan sebarang gol dalam kempen kelayakan Piala Dunia menentang San Marino dan Albania bersama Poland.

Bekas penyerang Borussia Dortmund pasti mahu kembali berbisa buat Bayern yang akan melakukan perjalanan ke BayArena, tetapi purata satu gol dalam setiap 225 minit sepanjang bertemu Leverkusen merupakan catatan terburuknya ke atas mana-mana kelab Jerman.

Begitupun, Nagelsmann yakin peledak jitu itu akan kembali produktif, lebih-lebih lagi Bayern hanya mendahului lawan mereka itu dengan perbezaan gol.

"Biasanya ia akan pulih sendiri berdasarkan kualiti dan jumlah peluang yang pernah diciptanya buat kami," kata pengurus muda itu dalam sidang media malam tadi.

"Saya menjangkakan keadaan akan kembali normal pada hari esok.

"Tentu saja saya ada bercakap dengannya seperti yang saya lakukan dengan setiap pemain yang lain, tetapi kebanyakannya mengenai perkara-perkara yang mampu dijelmakan di atas padang. Malah, pemain seperti Robert tetap akan diturunkan sekalipun tidak menjaringkan gol dalam beberapa perlawanan."






Rekod kebal Bayern di bawah bimbingan Nagelsmann berakhir dengan kejutan selepas mereka tewas 1-2 di tempat sendiri di Frankfurt dalam perlawanan terakhir, kekalahan itu juga merupakan yang pertama buat mereka di Allianz Arena sejak November 2019.

Juara bertahan tersebut kini akan menghadapi perjalanan sukar ke Leverkusen tetapi rekod memihak kepada pelawat itu.

Dalam lapan kempen terakhir, pendahulu liga itu hanya kalah sekali kepada seteru mereka tersebut.

"Mungkin lebih mudah kalau saya mengatakan bola tidak mahu masuk dalam perlawanan terakhir," katanya lagi.

"Corak permainan kami masih sama seperti musim ini tetapi dalam perlawanan itu kami tidak dapat menjaringkan empat atau lima gol.

"Kami sedang memperbaikinya. Dalam sesetengah perlawanan, kami berusaha menangani rintangan yang dihadapi dengan cara yang sama. Esok, kami berpeluang untuk mengorak langkah.



"Leverkusen telah mencatatkan beberapa keputusan yang menarik dan mereka memiliki mata yang sama banyak dengan kami. Saya sedia menghadapi perlawanan seperti itu dengan menonton rakaman perlawanan mereka, membaca corak permainan mereka dan mengkaji wawancara membabitkan mereka.

"Saya mendapati mereka cukup bersemangat. Mereka amat teguh dalam bersatu padu. Apa pun kami tidak sabar-sabar lagi untuk mengharungi salah satu perlawanan getir yang mahu kami menangi ini."