FURTH 1 BAYERN 3

Joshua Kimmich memberi amaran kepada seteru mereka bahawa Bayern Munich masih dahagakan kejayaan dengan terus mendominasi Bundesliga selepas menundukkan Greuther Furth 3-1 di sebalik Benjamin Pavard dilayangkan kad merah.


Rentak 15 jaringan Bundesliga berturut-turut Robert Lewandowski berakhir awal pagi tadi -- satu kurang daripada catatan Gerd Muller -- tetapi ia tidak mengendurkan misi juara bertahan itu untuk melebarkan jurang mendahului Wolfsburg dengan tiga mata.

Mereka, yang mengumpul 40 gol dalam lapan perlawanan terakhir, memimpin perlawanan dengan 2-0 hasil penyudah Thomas Muller dan Kimmich dalam separuh masa pertama.

Pavard kemudian diperintahkan keluar padang atas kekasaran profesional terhadap Jeremy Dudziak pada awal babak kedua, tetapi gol sendiri oleh Sebastian Griesbeck mengukuhkan lagi kedudukan pelawat.

Tandukan Cedric Itten di penghujung perlawanan bagaimanapun sudah terlalu lewat buat Furth untuk bangkit dalam 'derby Bavaria' di Sportpark Ronhof itu, awal pagi tadi.







Bayern mencatat lapan kemenangan berturut-turut untuk membuat permulaan baik di bawah tunjuk ajar Julian Nagelsmann tetapi pemain tengah, Kimmich, berkata masih banyak yang boleh ditawarkan lagi.

Pemain antarabangsa Jerman itu memberitahu DAZN: "Karakter dipamerkan pasukan ini hebat. Kami mempunyai pemain yang ingin berkembang, yang dahagakan kejayaan.

"Kami ingin memenangi setiap perlawanan. Saat ini kami dalam keadaan yang bagus tetapi musim ini kami belum dapat beraksi dengan yakin. Ada ruang untuk diperbaiki."

Kimmich, yang melakukan sepakan percuma yang berakhir ke gawang sendiri oleh Griesbeck, menambah: "Ia bukan satu persembahan yang cemerlang daripada pihak kami tetapi kami tetap menguasai perlawanan ini walaupun beraksi dengan 10 pemain.

"Kami melakukan kesilapan dalam separuh masa pertama lalu kerap memberikan situasi bola pegun kepada Furth."