HAMBURG SV 0 BAYERN MUNICH 1

Juara bertahan Bundesliga, Bayern Munich, menyamai mata pendahulu, Borussia Dortmund, selepas menewaskan Hamburg SV 1-0 dalam aksi awal pagi tadi.


Bertandang ke tempat lawan, Bayern yang kini dikendalikan oleh Jupp Heynckes, bermula garang apabila serangan pantas daripada Kingsley Coman hampir memberikan Arjen Robben gol pendahuluan, namun rembatan bekas sayap Belanda itu sedikit tersasar.

Tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Gideon Jung dilayangkan kad merah susulan bentesan keras terhadap Coman pada minit ke-38.

Kekurangan seorang pemain menyaksikan Hamburg lebih banyak bertahan, namun asakan bertali arus pelawat akhirnya membuahkan hasil selepas tujuh minit perlawanan bersambung dalam babak kedua.

Kesilapan Mergim Mavraj dan Kyriakos Papadopoulos mengeluarkan bola dari kawasan bahaya membolehkan Corentin Tolisso mudah menolak bola masuk menewaskan Christian Mathenia.

Bayern hampir menambah gol kedua pada minit ke-72 selepas menerima hantaran hasil sepakan sudut Robben, namun rembatannya sekadar singgah ke tiang gol tatkala Mathenia sudah tertewas.

Ketika perlawanan memasuki waktu kecederaan, Robert Lewandowski turut berpeluang menambah jaringan tetapi kuisannya terhadap bola hasil hantaran David Alaba hanya sipi di sebelah kiri pintu gol Hamburg.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat, membolehkan Bayern berkongsi 20 mata dengan pendahulu, Dortmund, selepas skuad kendalian Peter Bosz itu sekadar seri 2-2 menentang Eintracht Frankfurt.