Pemain bintang Torino, Andrea Belotti, akan terus kekal di kelab itu melainkan ada pasukan lain yang mampu menebus kontraknya, kata jurulatih, Sinisa Mihajlovic.

Belotti dikhabarkan menjadi sasaran AC Milan selepas menyumbang 26 gol dalam saingan Serie A musim lalu.

Penyerang berusia 23 tahun itu masih terikat dengan kontrak sehingga 2021 dan memiliki klausa penebusan kontrak bernilai GBP89 juta (RM498 juta).

Mihajlovic berkata Belotti -- yang sebelum ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United dan Chelsea -- akan terus kekal bersama kelab itu jika tiada kelab lain mampu menebus kontrak tersebut.

"Presiden kelab, Urbano Cairo menegaskan, sama ada tebus kontrak atau dia (Belotti) tidak akan ke mana-mana," jelas Mihajlovic.

"Saya gembira dia bersama kami. Kami lebih yakin ketika beraksi dan setiap pemain memiliki hubungan yang lebih baik.

"Saya sangat berpuas hati dengan sesi latihan dan kerja keras pemain dalam tempoh tiga minggu ini."

Belotti menyertai Torino pada 2015 dan telah pun menyumbat 40 gol dalam 74 penampilan.