Menandatangani Sergio Aguero mampu membantu Barcelona meyakinkan Lionel Messi kekal, menurut Juli Lopez.

Masa depan Messi melangkaui musim ini masih lagi tidak ditentukan menjelang tamat kontraknya. Pemain berusia 33 tahun itu menjelaskan keinginannya untuk berhijrah sebelum bermula musim 2020-21 tetapi akhirnya kekal di Nou Camp sehingga tamat kontrak.

Paris Saint-Germain (PSG) kuat dikaitkan dengan pemenang Ballon d'Or enam kali itu, sementara Manchester City dilaporkan berminat untuk menggandingkan semula bintang Argentina itu dengan bekas pengendali Barca, Pep Guardiola di England.

Bagaimanapun , Lopez -- yang akan mengawasi jabatan sukan sekiranya Victor Font memenangi pilihan raya -- berasakan jika Aguero dibawa masuk mungkin mengubah pandangan Messi.

"Barcelona memerlukan seorang lagi peledak jaringan. Aguero bukan hanya dibawa masuk untuk mengekalkan Messi. Kami bercakap mengenai pemain yang mahu beraksi di tahap tertinggi untuk ke Piala Dunia di Qatar.

"Dia akan melonjakkan semangat kelab dan berpengaruh di Barcelona."


Seperti Messi, kontrak Aguero dengan City juga memasuki beberapa bulan terakhir.

Dia yang terpaksa diketepikan ekoran masalah kecederaan serta kesihatan, sekadar turun sembilan kali dalam semua pertandingan. Selepas masalah hamstring dan lutut dialami pada permulaan musim, dia diuji positif Coronavirus pula awal tahun ini.