INTER MILAN 2 LAZIO 1

Alessandro Bastoni menjaringkan satu gol dan membantu jaringan Milan Skriniar untuk Inter Milan kembali ke puncak Serie A dengan menewaskan Lazio 2-1 di San Siro Siro awal pagi tadi.

Bastoni menamatkan kemarau jaringannya sejak Jun 2020 untuk meletakkan Nerazzurri di depan pada minit ke-30.

Pemain berusia 22 tahun itu melencongkan bola dari jarak 25 ela menggunakan kaki kirinya bagi menewaskan penjaga gol, Thomas Strakosha.

Lazio tidak banyak memberikan ancaman sebelum Ciro Immobile memanfaatkan kesilapan komunikasi di antara Stefan de Vrij dan Skriniar untuk menyumbat masuk jaringan penyamaan menerusi penyudah liciknya pada 10 minit terakhir babak pertama.

Bagaimanapun, Nerazzurri kembali berada di depan pada minit ke-67 apabila Bastoni menghidangkan umpanan lintang yang sampai tepat ke kepala Skriniar untuk pertahanan tengah itu menanduk masuk gol kemenangan pasukannya.

Kemenangan dalam perlawanan pertama sejak waktu rehat pertengahan musim itu membolehkan pasukan bimbingan Simone Inzaghi berkenaan kembali ke puncak Serie A dengan kelebihan satu mata di depan pencabar terdekat, AC Milan, dan turut mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Ia juga menyaksikan Inter kini merakamkan lapan kemenangan berturut-turut dalam saingan liga.