Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, mendedahkan dia akan tampil berbincang dengan Real Madrid sekiranya pasukannya berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah, Isco.

Isco dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Santiago Bernabeu selepas bergelut untuk mendapatkan waktu beraksi di bawah bimbingan Santiago Solari.

Pemain berusia 26 tahun itu masih memiliki kontrak sehingga 2022, namun hanya tampil lima kali dalam kesebelasan utama buat Madrid bagi saingan LaLiga musim ini dan masuk selaku pemain gantian 10 kali.

Dia menjadi pemain utama untuk saingan Piala Raja Sepanyol, sekali gus bermakna dia bakal beraksi menentang Barca awal pagi esok.

Menjelang separuh akhir pertama Copa Clasico itu, Bartomeu menjelaskan bagaimana Barca akan cuba mendapatkan pemain Sepanyol itu.

"Jika jurulatih kami mahukan pemain itu dan dia mahu meninggalkan Real Madrid, sudah tentu kami akan mendapatkannya," kata Bartomeu.

"Namun, sejak saya berada di sini, ia tidak berlaku.

"Tiada sebarang perjanjian yang berlaku. Semua pihak cuba menjadikan pasukan mereka lebih kompetitif.

"Isco? Demi Real Madrid, saya akan berbincang dengan presiden mereka, Florentio Perez," katanya lagi.