Aston Villa telah menandatangani pemain tengah menyerang, Ross Barkley, secara pinjaman sepanjang musim dari Chelsea.

Barkley telah membuat tiga penampilan bersama skuad kendalian Frank Lampard itu pada permulaan musim ini -- menjaringkan gol dalam aksi Piala EFL sebelum ini ketika menang ke atas Barnsley -- tetapi akan bersama Villa bagi baki musim 2020-21.

Pengendali Villa, Dean Smith, menyifatkan mereka telah berjaya untuk memperkuatkan skuad dengan kehadiran Barkley dan kini meletakkan sasaran untuk terus mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan liga.

Barkley menyertai Chelsea dari Everton Januari 2018 dan sebagai daripada skuad yang memenangi Piala FA dan Liga Europa.

Bagaimanapun, dia hanya diturunkan dalam kesebelasan utama 28 kali dalam aksi Liga Perdana Inggeris sepanjang dua tahun setengah di Stamford Bridge sementara bergelut untuk mendapatkan aksi terbaik seperti yang dipamerkan bersama Everton.

Barkley memiliki 33 kaps bersama England, kali terakhir beraksi di peringkat antarabangsa berdepan Bulgaria Oktober tahun lalu.

Dia menyertai Villa yang telah memenangi kesemua perlawanan setakat ini, dua daripadanya perlawanan EPL dan dua lagi bagi aksi Piala EFL.