Penolong jurulatih Liverpool, Pep Lijnders, menegaskan The Reds berhak diberikan pujian atas kesungguhan mereka menghadapi keadaan mencabar ketika seri 2-2 dengan Chelsea, awal pagi tadi.

Pelawat terpaksa berpuas hati untuk berkongsi satu mata selepas pertemuan menghiburkan di Stamford Bridge itu biarpun membenarkan tuan rumah memadam defisit kelebihan 2-0 dalam separuh masa pertama.

Lijnders mengambil alih tugas di tepi padang itu tanpa kehadiran pengurus, Jurgen Klopp, yang disahkan positif COVID-19 semalam.

Liverpool makin tempang untuk menghadapi pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu apabila Alisson, Roberto Firmino dan Joel Matip turut terlepas kunjungan ke London atas sebab yang sama sementara Andrew Robertson menjalani penggantungan.

Sementara itu, Mohamed Salah dan Sadio Mane -- yang kedua-duanya muncul selaku penjaring -- terlibat dalam perlawanan terakhir mereka sebelum menyertai Mesir dan Senegal dalam Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Sehubungan itu, Lijnders memuji perwatakan yang ditunjukkan oleh barisan pemainnya.

"Kami tidak pernah membosankan. Wujud ketekalan yang luar biasa daripada kedua-dua pasukan sejak awal permainan lagi," katanya kepada Sky Sports.

"Kami ingin lebih menguasai perlawanan. Kami melancarkan banyak serangan balas yang bagus cuma hantaran terakhir sahaja yang kurang.

"Secara keseluruhannya, untuk orang ramai ia pastinya satu perlawanan yang sukar dipercayai. Dengan situasi yang kami hadapi, ia merupakan satu pujian yang besar terhadap pasukan. Kami boleh mencipta banyak alasan untuk hari ini, tetapi pemain saya berjuang dengan sepenuh hati.

"Kami mahu menghampiri setiap aksi seperti perlawanan akhir. Dalam setiap perlawanan, baik sesiapa sahaja yang menyarung jersi mahupun di bangku simpanan, kami menunjukkan perwatakan seperti ini."





Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson, turut bersependapat bahawa rakan sepasukannya patut berbangga atas usaha mereka ketika berdepan The Blues.

"Chelsea adalah pasukan yang bagus dan kami mencurahkan segala-galanya," katanya kepada Match of the Day.

“Pemain menunjukkan semangat ketika bertahan dan hampir mendapat ganjarannya di penghujung serangan balas."