Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Scott O' Donnell, mengakui ada di kalangan pemain skuad Hassan Sazali Waras mempunyai potensi untuk diserap ke skuad senior Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon.

Namun, Scott menegaskan mereka perlu membuktikan kemampuan bersama kelab masing-masing terlebih dahulu dengan mendapatkan lebih banyak minit permainan sebelum mewakili negara di pentas antarabangsa.

"Saya tidak mahu memberikan nama pemain tersebut kerana ia akan meningkatkan tekanan kepada mereka. Perkara paling penting mereka perlu mendapatkan minit permainan dan beraksi secara konsisten bersama kelab," katanya.

"Kami tidak akan memberikan jersi skuad kebangsaan dengan mudah, mereka perlu membuktikan kemampuan mereka di peringkat senior dan mampu menyesuaikan diri dengan permainan yang lebih kompetitif."

Difahamkan, kapten skuad B19 negara, Aysar Hadi, yang juga pemain terbaik final Kejohanan AFF berada dalam radar Pan-gon untuk diberi peluang menyertai kem latihan pusat skuad negara yang dijadual September depan.