CHELSEA 7 GRIMSBY 1

Frank Lampard berpandangan pemain-pemain muda Chelsea berhak diberikan peluang untuk menyinar dalam aksi Piala EFL berdepan Grimsby Town dan tanggungjawab mereka adalah mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.


Marc Guehi, Reece James dan Billy Gilmour membuat penampilan pertama buat The Blues manakala Faustino Anjorin dan Ian Maatsen diperkenalkan dalam separuh masa kedua ketika membantu Chelsea lolos ke pusingan keempat dengan kemenangan 7-1 di Stamford Bridge.

The Blues meledak dua gol dalam tempoh tujuh minit pertama hasil jaringan Ross Barkley dan Michy Batshuayi, namun lawan mereka dari Liga Dua itu kembali mengurangkan defisit jaringan menerusi Matt Green.

Pedro kembali memberikan kelebihan dua jaringan selepas menyempurnakan sepakan penalti dan jaringan selanjutnya diledak oleh Kurt Zouma, James, Batshuayi dan Callum Hudson-Odoi.

Lampard menegaskan ia bukan persembahan yang sempurna tetapi berpuas hati memberikan peluang kepada pemain-pemain akademi membuktikan kemampuan mereka.

"Ia menyenangkan dalam banyak peringkat," katanya.

"Mereka berhak untuk diberikan peluang beraksi. Billy Gilmour mengharungi penampilan sulung yang cemerlang.

"Marc Guehi mempamerkan persembahan ampuh sejak saya tiba di kelab ini sebagai pengendali pasukan. Saya mengenali mereka ketika beraksi untuk skuad remaja."

Lampard mahu terus mencabar pemain-pemain muda berkenaan untuk mempertingkatkan lagi mutu permainan serta mahu Hudson-Odoi menampilkan permainan yang lebih mantap selepas kembali pulih daripada kecederaan.

"Persembahan Hudson-Odoi, saya kurang pasti dalam separuh masa pertama. Saya berasakan dia dan Christian Pulisic berusaha sebaik mungkin di bahagian sayap dan berusaha menembusi benteng lawan.

"Dia harus meningkatkan lagi kemampuannya untuk diturunkan secara konsisten dalam setiap perlawanan."

Chelsea bakal berdepan Manchester United dalam pusingan seterusnya dan menjangkakan Ole Gunnar Solskjaer bakal menurunkan barisan terbaik di Stamford Bridge nanti.

"Ia adalah perlawanan yang besar. Saya sangat gembira kerana kami beraksi di laman sendiri.

"Kami menghormati United kerana dibarisi pemain yang berkualiti. Mereka menewaskan kami 4-0 dalam perlawanan pertama."

Undian pusingan keempat Piala EFL:
Everton lwn Watford
Aston Villa lwn Wolves
Manchester City lwn Southampton
Burton Albion lwn Leicester City
Crawley Town lwn Colchester United
Chelsea lwn Manchester United
Oxford United lwn Sunderland
Liverpool lwn Arsenal