Barcelona sedang meninggu laporan lanjut mengenai kecederaan paha yang dialami Ronald Araujo sewaktu tugasan antarabangsa bersama Uruguay.

Pemain berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan berkenaan dalam babak kedua ketika pasukan kebangsaannya tewas 0-3 kepada Argentina hujung minggu lalu dan diketepikan bagi perlawanan menentang Brazil dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia pada Jumaat ini.

Barcelona mengesahkan semalam bahawa Araujo, yang telah melakukan 48 penampilan buat kelab itu sejak melakukan penampilan pertama pada Oktober 2019, akan kembali ke Catalonia bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

Araujo telah diturunkan dalam kesemua sembilan perlawanan Barca musim ini -- tujuh dalam LaLiga dan dua dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) -- dan secara keseluruhan telah beraksi selama 615 minit di atas padang.

Hanya Marc-Andre ter Stegen (630), Frenkie de Jong (676), Sergio Busquets (734) dan Memphis Depay (809) mempunyai minit permainan lebih panjang di bawah kendalian Ronald Koeman musim ini.

Barcelona akan menghadapi Valencia apabila saingan LaLiga kembali bersambung hujung minggu ini sebelum pertembungan blokbuster dengan Real Madrid pada minggu berikutnya sambil disulami pertemuan dengan Dynamo Kiev dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada pertengahan minggu berkenaan.