Ronald Koeman berkata Barcelona 'tidak boleh bercita-cita tinggi' tanpa Lionel Messi selepas pemain kelahiran Argentina itu meledak satu lagi gol ketika menang 2-1 ke atas Athletic Bilbao.

Messi menjadi perbualan utama selepas laporan daripada El Mundo mendakwa dia telah menandatangani kontrak di Nou Camp pada 2017, yang berakhir penghujung musim ini, bernilai lebih daripada EURO555 juta.

Dia membuktikan kemampuannya kepada Barca dengan sepakan percuma pada pertengahan separuh masa pertama -- jaringan ke-650 untuk kelab -- sebelum jaringan sendiri Jordi Alba memberikan penyamaan buat Athletic.

Antoine Griezmann melengkapkan tiga mata dengan jaringan kemenangan ketika perlawanan berbaki 16 minit, bagi membantu Barca melintasi Sevilla dan Real Madrid ke tanggan kedua LaLiga, 10 mata di belakang pendahulu Atletico Madrid.

Ketua jurulatih Koeman kurang berminat dengan butiran kontrak Messi yang didedahkan itu, tetapi menegaskan isu itu tidak menjejaskan motivasi pemain tersebut kerana dia percaya bahawa Messi adalah terbaik dunia.

"Kami telah mengetahui, sejak beberapa lama, bahawa dia adalah yang terbaik di dunia," kata bekas pengendali Belanda itu.


"Dia melakukan banyak hal untuk kelab. Dia mampu menentukan kemenangan dalam setiap perlawanan. Anda harus menghormati semua yang dilakukannya. Dia pemain yang hebat, dia memberi kita kreativiti dalam serangan. Tanpa Leo, Anda tidak akan dapat bercita-cita tinggi."

"Dia lebih bermotivasi dengan apa yang telah berlaku [kerana laporan tersebut]. Apa yang berlaku adalah kerana mahu mencalarkan imej dan menjejaskan prestasinya.

"Kita harus bersatu dan fokus. Perkara-perkara yang diterbitkan harus diabaikan, tetapi sangat sukar."