Presiden Nice, Jean-Pierre Rivere, mendedahkan dia telah menerima panggilan daripada presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, yang meluahkan rasa malu dengan pihaknya yang menarik diri daripada urusan pembelian Jean-Michael Seri.

Pemain antarabangsa Ivory Coast itu tampak akan berhijrah ke Camp Nou dengan bayaran €40 juta (RM203 juta), namun perpindahan itu tidak menjadi.

Seri mengkritik pasukan Ligue 1 itu ekoran kegagalan menyempurnakan perpindahan tersebut, namun Rivere menegaskan Barca yang membuat keputusan untuk tidak meneruskan perbincangan.

"Julien Fournier, pengurus besar Nice, menghubungi saya pada Rabu (23 Ogos), sekitar jam 9 pagi dan berkata:'Jean-Pierre, saya tidak faham, saya menerima panggilan daripada Barcelona dan memberitahu saya agar memberhentikan perpindahan Seri'," kata Rivere.

"Pada tengah hari, Bartomeu menghubungi saya dan berkata: 'Ini adalah kali pertama perkara ini berlaku. Pihak pengurusan memutuskan untuk tidak meneruskan pembelian Seri, ia bukan faktor kewangan'."

Rivere menambah: "Saya meletakkan diri saya di tempat Seri; ini adalah impian dia untuk berhijrah ke Barcelona tetapi segala-galanya musnah."