Barcelona memperoleh kesepakatan untuk menandatangkan Miralem Pjanic daripada Juventus dengan pembayaran pendahuluan bernilai €60 juta (RM288.6 juta) selepas Arthur bersetuju untuk berpindah ke arah yang bertentangan dalam satu perjanjian berbeza.

Pjanic akan menandatangani kontrak selama empat tahun dengan Barca dan menyertai pasukan itu selepas tamat musim 2019-20.

Perpindahan itu turut disertakan dengan bayaran tambahan yang boleh mencecah sehingga €5 juta (RM24.05 juta).

Terdahulu, pada hari yang sama, juara LaLiga itu mengesahkan bahawa pemain tengah mereka, Arthur, akan menyertai Juve musim depan dengan perpindahan bernilai €72 juta (RM346.3 juta).

Pemain kebangsaaan Bosnia-Herzegovina, Pjanic, berusia tujuh tahun lebih tua berbanding Arthur dan telah menyertai Juventus sejak meninggalkan Roma pada 2016.

Pakar situasi bola mata itu kekal menjadi watak penting sejak Maurizio Sarri menggantikan Massimiliano Allegri sebagai ketua jurulatih pasukan itu musim ini.

Pjanic memenangi Serie A dalam ketiga-tiga musimnya di Turin dan menjaringkan 22 gol daripada 171 penampilannya dalam kesemua kejohanan.

Dia berkemungkinan akan menjulang kejuaraan keempatnya secara berturut-turut dengan Juve kini berkelebihan empat mata di depan Lazio bagi mempertahankan Scudetto.