Ousmane Dembele perlu menjalani pembedahan lutut susulan kecederaan yang dialaminya ketika membantu Perancis dalam Euro 2020.

Pemain sayap Barcelona itu berasa sakit dilututnya ketika dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Perancis terikat 1-1 dengan Hungary -- hanya dapat beraksi selama 30 minit sebelum digantikan dengan Thomas Lemar -- hujung minggu lalu.

Selepas menjalani imbasan, Perancis mengesahkan kelmarin bahawa Dembele tidak lagi mampu melibatkan diri dalam Kejohanan Eropah berkenaan.

Kelabnya menjalankan satu lagi ujian terhadap kecederaannya dan mendapati tendon biceps di lutut kanan pemain itu terseliuh.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Barcelona mengesahkan bahawa pemain itu perlu menjalani pembedahan lutut.

Walaupun masih tiada sebarang jangkaan mengenai tempoh pemulihan yang diperlukan pemain itu, laporan media-media di Sepanyol berpendapat Dembele akan diketepikan selama tiga atau empat bulan.

Sejak menyertai Barcelona daripada Borussia Dortmund empat tahun lalu, perkembangan karier Dembele sering terganggu dengan kecederaan serius.

Pemain berusia 24 tahun itu hanya dapat memulakan 54 perlawanan LaLiga sepanjang empat tahun di Camp Nou dan sepanjang musim lalu, dia hanya dapat melengkapkan 90 minit dalam lima perlawanan liga.

Barcelona telah memperkuatkan jentera serangan mereka menjelang musim 2021-22 dengan kemasukan Sergio Aguero dan Memphis Depay secara perpindahan percuma.