Memphis Depay sah dinamakan sebagai pemain baru barcelona selepas penyerang Belanda itu menyertai kelab berkenaan secara perpindahan percuma daripada Lyon.

Depay kini dalam tugasan antarabangsanya bersama Belanda di mana jaringan penaltinya ketika menewaskan Australia 2-0 pada Jumaat lalu membolehkan skuad kendalian Frank de Boer itu menduduki tangga teratas Kumpulan B, Euro 2020.

Sebaik tugasnya bersama Belanda dalam Euro 2020 selesai, Depay akan terus ke Barca, yang telah lama dikaitkan untuk mendapatkan bekas penyerang Manchester United itu.

Pemain berusia 27 tahun berkenaan, yang menyertai Lyon dalam musim 2016-17 selepas kegagalannya di Old Trafford, akan menandatangani kesepakatan selama dua tahun selepas kontraknya bersama kelab Ligue 1 itu tamat pada 30 Jun ini.

Perkembangan Depay di Lyon membuatkannya semakin hampir untuk menyertai Barca -- yang kini dilatih bekas pengendali Belanda, Ronald Koeman -- sejak beberapa tahun lalu tetapi dia memilih untuk kekal di Perancis.

Dia menikmati musim Ligue 1 terakhirnya dengan gemilang apabila menamatkan kempen 2020/21 dengan 20 gol, hanya ketinggalan di belakang Kylian Mbappe (27) tetapi 12 bantuan jaringan dan 94 peluang yang diciptanya merupakan yang tertinggi dalam liga divisyen utama Perancis berkenaan.

Depay menjadi pemain keempat menyertai Barca menjelang musim depan selepas Sergio Aguero, Eric Garcia dan Emerson.