Barcelona selesai menandatangani Yusuf Demir secara pinjaman daripada Rapid Vienna dengan pilihan untuk pembelian secara tetap.

Pemain sayap berusia 18 tahun itu memperoleh reputasi besar di Austria selepas memecah masuk ke dalam skuad utama Rapid pada usia muda dan diberikan gelaran 'Messi Austria' berikutan cara permainannya.

Dia kini berpeluang untuk bergandingan dengan Lionel Messi sebenar seandainya bintang Argentina itu bersetuju untuk melanjutkan kontraknya di Camp Nou.

Barca menandatangani Demir secara pinjaman bagi musim 2021-22 dengan kesepakatan bernilai €500,000 (RM2.48 juta) dan mereka mempunyai pilihan untuk memiliki pemain itu secara tetap dengan tanda harga €10 juta (RM49.7 juta).

Pemilihan Demir itu dilihat tepat berdasarkan polisi perpindahan terbaru Barca yang menyasarkan pemain muda, di mana mereka turut membawa masuk Sergino Dest, Francisco Trincao, Eric Garcia, Emerson Royal, Pedri dan Frenkie de Jong.

Pemain kelahiran Austria itu kelihatan akan lebih banyak beraksi dengan Barcelona B tetapi dia akan menyertai sesi latihan pramusim bersama skuad senior dan berpeluang untuk mempamerkan kehebatan sebenarnya.