Cemerlang dalam liga, namun tumbang awal di pentas utama Eropah buat sekian kalinya -- inilah kisah perit yang terpaksa ditelan oleh Barcelona.

Lebih satu dekad telah berlalu sejak zaman kegemilangan La Blaugrana, di mana kelibat Lionel Messi yang masih muda membolos jaring tanpa henti, barisan tengah dikemudi oleh dua pemain legenda, Xavi dan Andres Iniesta, tidak memberi peluang kepada lawan untuk menyentuh bola pun, zaman di mana Barcelona tiada tandingannya.

Kini, Xavi beralih daripada mengemudi permainan kepada menguruskan seluruh pasukan sebagai pengurus.

Biarpun dia dan kesemua pemain diselubungi kesugulan sebelum sepak mula lagi ketika menentang Bayern Munich semalam, temu bual pasca perlawanan daripadanya masih dipenuhi dengan nada optimis.

"Ini baru bulan Oktober, kami sudah pun tersingkir daripada Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

"Tetapi sekarang kami akan bermain pula dalam Liga Europa dan kami boleh memenanginya.

"Selain itu, kami juga masih boleh memenangi La Liga, Copa Del Rey dan Piala Super.

"Mungkin kekalahan ini adalah sesuatu yang kami perlukan demi terus bangkit dan maju."

Setelah hampir setahun menjawat tugas sebagai pengurus, prestasi Xavi masih lagi belum boleh dikatakan stabil.

Usahanya dalam membawa masuk pemain-pemain ternama musim ini diberikan pujian ramai, terutama Robert Lewandowski yang membuktikan dirinya masih lagi kekal sebagai antara penyerang paling berbisa di seluruh Eropah dengan 17 gol dalam kesemua pertandingan ketika ini.

Apa yang menjadi masalah adalah ketajaman aspek taktikal, terutama daripada segi kelonggaran barisan pertahanan.

Disebabkan kelonggaran ini dan faktor persembahan yang kurang konsisten, Barcelona gagal mengecapi keputusan yang diharapkan oleh ramai pihak.

Jika bukan kerana adanya Lewandowski, perlawanan menentang Inter Milan dalam pusingan lalu tidak mungkin berakhir dengan keputusan seri 3-3 tetapi hampir pasti satu kekalahan yang cukup memalukan.

Sewaktu menentang Bayern semalam pula, tempoh masa sembilan minit sudah lebih daripada mencukupi untuk kelab Jerman itu membuktikan betapa mudahnya untuk gawang gol Barcelona dibolosi.

Satu artikel khas dalam akhbar Marca menyebut satu ayat yang cukup tajam -- "Bilakah Barcelona akan belajar untuk tidak bermain dengan barisan pertahanan yang tinggi jika mereka tidak mempunyai pemain yang tahu bagaimana strategi itu digunakan?"

Mungkin Barcelona boleh menyalahkan faktor kehilangan semangat kerana tahu mereka sudah pun tersingkir daripada pertandingan sebelum sepak mula lagi, tetapi ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk persembahan yang longlai dan serba tidak menjadi.





Sememangnya sudah terlambat untuk meratapi nasib atas apa yang terjadi tetapi memang benar kata-kata Xavi di mana masih ada pertandingan-pertandingan lain untuk dimenangi.

Dengan Piala Dunia cuma berbaki tiga minggu lagi, seharusnya tumpuan diberikan untuk mencari semula semangat yang hilang, mengatur dan memantapkan semula strategi dan memburu apa yang masih lagi boleh dimenangi.

Xavi disandarkan dengan harapan yang tinggi, namun apa yang tinggal adalah membuktikan dirinya merupakan orang yang layak menyandang harapan berkenaan.