Barcelona memulakan era tanpa Lionel Messi dengan kemenangan 3-0 ke atas Juventus dalam pertemuan Trofi Juan Gamper di Stadium Johan Cryuff awal pagi tadi.

Terdahulu, Messi memberikan ucapan selamat tinggal dengan mengalirkan air mata dalam sidang medianya selepas sah menamatkan hubungan selama 21 tahun dengan kelab itu minggu lalu.

Nama pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or berkenaan disorak penyokong Barca dalam perlawanan pramusim dengan Juve, yang turut menyenaraikan Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama.

Memphis Depay memberikan Barca pencahuluan pada minit ketiga sebelum Martin Braithwaite menambah gol kedua sebelum sejam permainan.

Riqui Puig kemudian menjaringkan gol ketiga Barca menerusi sepakan terakhir dalam perlawanan itu untuk membenarkan skuad kendalian Ronald Koeman berkenaan menamatkan saingan pramusim mereka dengan kemenangan.