Pep Guardiola berkata bekas pasukannya, Barcelona, kekal antara yang terbaik di dunia dan dia berasakan mereka mampu bangkit dalam aksi kedua pusingan 16, Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Ada yang mendakwa Barca sedang mengalami krisis setelah kecundang 4-0 di Parc des Princes.

Kekalahan itu turut mencetuskan desas-desus bahawa masa depan pengendali, Luis Enrique, juga akan berakhir.

Bagaimanapun, pengendali Manchester City, Guardiola, memberi amaran kepada pengkritik untuk tidak mengecam pasukan itu kerana dia yakin Barca mampu bangkit di Nou Camp bulan depan.

"Pada saya, Barcelona kekal pasukan terbaik dunia," Guardiola memberitahu wartawan.

"Mereka ada 90 minit lagi dalam aksi kedua pusingan 16, jadi apa sahaja boleh berlaku. Ada satu pasukan yang mampu bangkit setelah ketinggalan 4-0, dan pasukan itu adalah Barcelona.

"Perkara normal untuk dikecam selepas perlawanan itu tetapi dalam tempoh 10 tahun ini, Barcelona telah mendominasi dunia bola sepak.

"Nasihat saya kepada semua, jangan terlalu mengkritik Barcelona kerana mereka sering kali bangkit."

Mengakui tewas 4-0 sebagai satu kejutan, Guardiola bagaimanapun berpendapat: "Dalam dunia bola sepak, apa sahaja boleh berlaku.

"Saya juga pernah mengalami senario sama."

Pada masa sama, Guardiola turut mempertahankan pengendali Arsenal, Arsene Wenger, yang dikecam susulan kekalahan 5-1 kepada Bayern Munich.

"Tewas satu-dua perlawanan dan mereka sudah melupakan pencapaian dia selama beberapa tahun ini," katanya.

"Saya menyokong Wenger 100 peratus."