Barcelona mengesahkan bahawa penyerang mereka, Martin Braithwaite, akan menjalani pembedahan lutut kiri dan dilaporkan akan terlepas baki kempen sepanjang tahun ini.

Pemain Denmark berusia 30 tahun itu meminta untuk ditukarkan ketika Barcelona menewaskan Getafe 2-1 bulan lalu gara-gara mengalami kesakitan lutut sehingga tidak dapat bersama negaranya dalam waktu rehat antarabangsa.

Braithwaite sebelum ini mencuba untuk menjalani rawatan konservatif tetapi Barca mengesahkan bahawa dia akan menjalani pembedahan lutut untuk menyelesaikan masalah itu.

"Martin Braithwaite mengalami kecederaan femoropatellar di lutut kirinya yang tidak dapat diselesaikan dengan rawatan konservatif," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

"Penyerang Denmark itu akan menjalani pembedahan dalam beberapa hari ini. Kelab ini akan memberikan perkembangan lebih lanjut apabila proses itu bermula."

Rata-rata laporan berpendapat pemain itu akan terlepas baki saingan sepanjang musim ini, di mana ia akan menjadi satu tamparan buat Barca, yang telah kehilangan Lionel Messi dan Antoine Griezmann dalam jendela perpindahan lalu.

Braithwaite menjaringkan tujuh gol daripada 42 penampilan buat Barcelona sepanjang musim lalu sebelum menjaringkan dua gol ke atas Real Sociedad dalam perlawanan pembukaan LaLiga musim ini.