Ernesto Valverde mahu semua pemain Barcelona memulakan hidup baru tanpa Neymar selepas bintang Brazil itu berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG).

Valverde yang merupakan pengurus Barca menyeru agar pemain-pemain segera 'membuka buku baru' walaupun Neymar merupakan antara nadi utama pasukannya sebelum ini.

Selepas aksi persahabatan menentang Gimnastic de Tarragona, pengendali berusia 53 tahun itu menggesa pasukannya agar segera melupakan Neymar dan fokus terhadap persiapan musim baru.

“Semua orang berhak menentukan hala tujunya,” kata Valverde.

“Neymar telah memilih haluannya dan kami mengucapkan selamat maju jaya.

“Kami mahukannya kekal tetapi harus memulakan hidup baru tanpanya. Anda tidak boleh terus menoleh ke belakang,” ujarnya.

Barcelona bakal bertemu Chapecoense dalam aksi Piala Joan Gamper esok sebelum menentang seteru utama, Real Madrid, dalam aksi Piala Super Sepanyol.