BARCELONA 1 REAL VALLADOLID 0

Kecergasan Ousmane Dembele pulih tepat pada waktunya bagi membuat penampilan bersama Barcelona, menurut rakan sepasukannya, Clement Lenglet.


Barca hampir dikecewakan 0-0 dengan Real Valladolid di kandang sendiri, awal pagi tadi, sebelum penyudah Dembele pada minit ke-90 menjadi pemisah kedua-dua pasukan -- kemenangan itu membolehkan pasukan kendalian Ronald Koeman untuk satu mata di belakang pendahulu, Atletico Madrid, dengan baki sembilan perlawanan LaLiga musim ini.

Sejak berpindah ke Camp Nou daripada Borussia Dortmund pada 2017, pemain sayap Perancis berusia 23 tahun itu sering dilanda masalah kecederaan.

Begitupun, Dembele semakin mengukuhkan tempat dalam barisan bimbingan Koeman pada tahun ini apabila membentuk gandingan tiga penyerang serangkai dengan Lionel Messi dan Antoine Griezmann.

Griezmann dikeluarkan ketika menentang Valladolid sementara Messi dikekang bekas rakan sepasukannya, Jordi Masip, di depan gawang pelawat, sebelum Dembele muncul wira pasukan untuk meledak gol tunggal perlawanan.

"Saya tidak terkejut," kata Lenglet kepada TV LaLiga.

"Dia terlepas banyak perlawanan akibat kecederaan dan sekarang semuanya nampak tenang dalam soal itu.

"Ketika fizikalnya sihat, dia mampu menguasai bola dengan sangat baik, dia memiliki dua belah kaki yang bagus dan sangat lincah. Dia boleh memberikan sumbangan besar.

"Saya sangat gembira buatnya kerana dia bekerja keras dan dia layak mendapatkannya."




Dembele juga terlibat dalam detik penting perlawanan itu apabila mendorong pemain tengah Valladolid, Oscar Plano, diperintah keluar padang kerana menjatuhkannya pada minit ke-79.

Walaupun terjahan Plano itu terang-terangan, kad merah itu bagaimanapun mengejutkan rakan sepasukannya.

Begitupun, Lenglet berasakan hukuman itu setimpal atas kekasarannya.

"Kad merah itu dengan pantas dilayangkan," katanya.

"Ousmane diterjah dengan sangat keras dari belakang, itulah sebabnya pihak pengadil menghukumnya dengan cara itu.

"Saya rasa kad itu memang wajar kerana ia satu terjahan dari belakang."