Barcelona sedang cuba untuk mendapatkan keseimbangan di antara permintaan gaji yang diminta Samuel Umtiti dengan struktur yang mereka aturkan tatkala perbincangan untuk kontrak baru diteruskan.

Presiden kelab, Josep Maria Bartomeu, mengesahkan bahawa perbincangan sedang dijalankan dengan pemain pertahanan dari Perancis itu selepas dilaporkan menjadi sasaran Manchester United.

Kontrak sedia ada Umtiti masih berbaki tiga tahun dan minggu lalu, dia menegaskan rasa sayangnya terhadap pasukan yang disertainya itu dari Lyon pada 2016.

Bagaimanapun, klausa perpindahan yang rendah berjumlah EUR60 juta (RM284 juta) dilihat memudahkan pasukan lain mendapatkannya, membuatkan Barca perlu mengambil langkah menaikkan nilai itu.

“Umtiti memiliki kontrak dan kami sedang berbincang dengannya untuk memperbaharuinya,” kata Bartomeu kepada stesen radio, RAC1.

“Kami cuba untuk mengekalkan struktur gaji bagi memantapkan keharmonian dalam pasukan.

“Kami akan cuba mendapatkan persetujuan kerana dia mengharungi musim yang bagus. Apa yang penting, kami berbincang dengan tenang,” ujarnya.

Mewakili Perancis sebanyak 16 kali, nilai perbincangan Umtiti pastinya meningkat jika dia menampilkan aksi hebat dalam Piala Dunia di Russia nanti.