Ronald Koeman mempertimbangkan untuk menggandingkan Sergio Aguero dan Ansu Fati bagi menggempur Valencia tatkala pengurus itu terdesak memburu kemenangan.

Bekas penyerang Manchester City, Aguero -- penjaring terbanyak bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) -- belum terlibat dalam sebarang perlawanan kompetitif bersama Barcelona akibat kecederaan betis sejak berhijrah awal musim ini.

Pemain Argentina itu kini dalam percaturan Koeman menjelang pertembungan dengan Valencia di Camp Nou, awal pagi esok, sementara Fati tampak sudah bersedia untuk ditempatkan dalam kesebelasan utama buat julung kalinya musim ini.






Masih belum dapat dipastikan apakah gandingan itu akan dibentuk ketika mereka bertemu Dynamo Kiev dalam kempen Liga Juara-Juara, Khamis depan, mahupun pertemuan 'El Clasico' menentang Real Madrid hujung minggu depan.

Tiga perlawanan di tempat sendiri dalam tempoh lapan hari mungkin menjadi penentu masa depan Koeman di Camp Nou selepas mereka tersungkur kepada Benfica di pentas Eropah disusuli kekalahan LaLiga kepada Atletico Madrid sebelum rehat antarabangsa.

Menilai situasi Aguero itu, Koeman berkata: "Dia telah meningkat dengan pesat akhir-akhir ini. Dia berkesempatan beraksi selama 20-25 minit dalam perlawanan latihan pada Rabu lalu dan ia berjalan lancar.

"Tetapi dia tidak memiliki rentak permainan dan tahap fizikal tertentu. Dia akan mendapatkannya melalui perlawanan. Ada kemungkinan dia akan disenaraikan. Kualitinya tidak perlu dipersoalkan lagi, dia akan menawarkan banyak kelebihan kepada pasukan terutama di bahagian depan."