Barcelona memberikan penghormatan buat Rafael Marquez selepas bekas benteng kelab LaLiga dan kapten skuad kebangsaan Mexico itu menamatkan karier 22 tahun sebagai pemain.

Berusia 39 tahun, Marquez yang diangkat sebagai salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman buat Mexico, mengumumkan persaraannya menerusi media sosial.

Marquez memenangi empat kejuaraan LaLiga dan dua trofi Liga Juara-Juara Eropah ketika berada di Barca, di mana dia tiba pada 2003 dari AS Monaco dan kekal di Camp Nou selama tujuh tahun.

Justeru, pihak Barcelona menggunakan laman Twitter sebagai medium untuk memberi ucapan buat Marquez.

"Terima kasih Rafa dan selamat maju jaya!"

Marquez menjadi pemain ketiga yang melakukan penampilan dalam lima edisi Piala Dunia tatkala Mexico melangkah sehingga ke pusingan 16 terakhir di Russia 2018.

Kelab Liga MX, Atlas, menjadi destinasi terakhir buat legenda Mexico itu selepas turut pernah berkelana di Monaco, New York Red Bulls, Leon serta Hellas Verona di Itali.

"Dalam tempoh 22 tahun, saya berasa sangat puas kerana melakukan pengorbanan, usaha, kesilapan, keputusan bijak dan hasilnya, ia memberikan kesedihan, kadangkala kekecewaan tetapi kebanyakannya adalah keseronokan," kata Marquez dalam laman Twitter peribadinya.

"Saya mahu berterima kasih kepada peminat-peminat yang telah menunjukkan sokongan dalam beberapa tahun. Mereka akan kekal menjadi pemangkin buat saya untuk terus melakukan yang terbaik dalam apa jua yang saya lakukan, di masa sahaja."