Presiden Barcelona, Joan Laporta, meredakan spekulasi untuk memancing Erling Haaland di penghujung musim ini apabila memaklumkan sumber kewangan mereka belum cukup kukuh.

Blaugrana sering dikaitkan dengan perpindahan penyerang Borussia Dortmund itu, tetapi Laporta enggan bermain tarik tali apabila menafikan sedia mengadakan perbincangan dengan Haaland memandangkan kos tinggi diperlukan untuk menjayakan perjanjian berkenaan.

"Walaupun kami mempunyai situasi ekonomi yang terbaik, ada perpindahan yang kami tidak akan lakukan," kata Laporta kepada Eport3.

"Mateu Alemany, Jordi Cruyff dan setiausaha teknikal sedang berusaha menambah baik pasukan. Kami mengintai peluang perpindahan tetapi ada pemain yang sukar dipancing.

"Kami perlu menyelamatkan diri sendiri.

"Kami telah memperbaiki keadaan tetapi kami perlu memulihkan ekonomi kami terlebih dahulu. Kami tidak akan menyempurnakan sebarang perjanjian yang boleh meletakkan institusi ini di dalam risiko."