Barcelona bakal berdepan ujian sukar bertemu Sevilla bagi aksi separuh akhir Copa del Rey ketika Ronald Koeman mengejar trofi sulung sejak dilantik sebagai ketua jurulatih.

Pertembungan Barcelona-Sevilla akan menjadi aksi ulangan suku akhir dua tahun lalu, apabila Sevilla menang 2-0 di laman sendiri sebelum diaibkan 6-1 di Camp Nou.

Koeman, yang mengambil alih pasukan Ogos lalu, menyaksikan pasukannya tewas 3-2 dalam aksi final Supercopa de Espana kepada Athletic Bilbao Januari lalu, apabila Lionel Messi diarah keluar padang dalam masa tambahan.

Kejuaraan itu berlalu pergi tetapi jurulatih Belanda itu akan mengharapkan hasil yang lebih baik bagi Barcelona dalam Copa del Rey dalam usaha untuk melangkah ke final.

Mereka hampir tersingkir dalam suku akhir minggu ini oleh Granada, diselamatkan oleh gol lewat pada waktu biasa dari Antoine Griezmann dan Jordi Alba sebelum menang 5-3 selepas masa tambahan.

Berdepan Sevilla pastinya bukan tugas mudah kerana Barca, yang kedua di LaLiga, hanya satu mata di depan pasukan Julen Lopetegui.

Ia bakal menjadi satu lagi aksi final antara Barcelona dan Athletic, dengan gergasi Bilbao diundi bertemu Levante dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Aksi pertama akan dipertandingkan minggu hadapan, dengan aksi timbal balik pada pertengahan minggu pertama pada bulan Mac.

Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) berkata Sevilla menerima kunjungan Barcelona 10 Februari, dengan pertembungan Nou Camp dijangka bakal dipertandingkan 3 Mac.